BATU PAHAT – Seorang lelaki mengaku tidak bersalah dan memberi pelbagai alasan kepada Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) Daerah Batu Pahat bagi mengelak ditahan selepas didapati berkhalwat bersama pasangannya, semalam.
Lelaki tersebut bersama pasangannya ditahan di sebuah kediaman teres dua tingkat yang diubahsuai menjadi rumah tumpangan di bandar ini, dalam operasi cegah maksiat yang dijalankan.
Lebih memeranjatkan lelaki terbabit turut menjerkah anggota operasi dengan mengatakan bahawa wanita tersebut adalah miliknya dan tiada siapa boleh menghalang hubungan mereka.
Timbalan Penguatkuasa JAIJ Daerah Batu Pahat, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, pasangan berkenaan pada mulanya enggan memberi kerjasama dan membuka pintu ketika serbuan dilakukan.
Menurutnya, anggota operasi mengambil masa selama beberapa minit bagi ‘memujuk’ pasangan terbabit untuk membuka pintu, namun usaha dilakukan tidak berhasil.
“Pasangan ini hanya memberi kerjasama dengan membuka pintu apabila anggota operasi menyatakan mahu memecahkan pintu rumah tumpangan itu. Kami mendapati mereka berdua-duaan dalam bilik tertutup dalam keadaan mencurigakan.
“Lelaki terbabit yang membuka pintu memberikan pelbagai alasan agar mereka tidak didakwa, manakala pasangannya berada dalam keadaan ketakutan kerana statusnya masih lagi isteri orang.“Antara alasan yang diberikan pasangan berkenaan, mereka saling mencintai, namun status menghalang hubungan mereka. Mereka turut memberitahu kini dalam proses perceraian dengan pasangan masing-masing,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.
Saiful Ariffin berkata, siasatan awal mendapati pasangan terbabit sudah lama mendiami rumah tumpangan berkenaan berdasarkan barangan milik mereka di dalam bilik yang diserbu.Tegasnya, pasangan terbabit tetap didakwa kerana tiada ikatan perkahwinan sah selain berada dalam keadaan mencurigakan meskipun memberi pelbagai alasan.
“Pasangan berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat bagi proses dokumentasi sebelum ditahan bagi siasatan lanjut dan sebagai pengajaran kepada mereka.“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 27 (1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 dan jika disabitkan kesalahan kedua mereka bakal berdepan hukuman denda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan maksiat atau berada dalam keadaan mencurigakan bagi mengelak ditahan pihak berkuasa.- SINAR HARIAN Klik LIKE Page Ini Untuk Terima Info Terbaru Dari Kami
0 comments:
Post a Comment