Remaja Perempuan Dihentak Dengan Bingkai Gambar Hingga Pecah Kepala


Ampang: Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun menerima 22 jahitan di kepala selepas dihentak menggunakan bingkai gambar oleh bapanya dalam kejadian di Tasik Permai, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.20 pagi itu, suspek berusia 42 tahun dilapor pulang ke rumah dalam keadaan mabuk sebelum memukul mangsa dipercayai kerana berang dengan isterinya yang tidak memberikan wang kepadanya.

Menurut sumber, ketika kejadian, mangsa berada di ruang tamu rumahnya sedang menjamah makanan bersama neneknya berusia 60-an.

“Suspek yang pulang ke rumah dalam keadaan mabuk mula memaki-hamun mangsa namun perbuatannya itu tidak diendahkan.

“Berang dengan itu, suspek mengambil bingkai gambar yang tergantung di dinding ruang tamu dan terus memukul kepala anaknya itu,” katanya memberitahu, suspek kemudian masuk ke dalam biliknya.

Sumber itu berkata, mangsa yang cedera di kepala kemudian menelefon bapa saudaranya untuk meminta membawanya ke hospital.

“Mangsa dibawa ke Hospital Ampang (HA) dan menerima 22 jahitan di kepala serta mata kirinya,” katanya memberitahu, satu laporan polis dibuat mangsa di Balai Polis Ampang, di sini, mengenai kejadian itu.

Katanya, sepasukan polis yang menerima laporan itu bergegas ke rumah suspek sebelum menahannya kira-kira jam 4 petang.

“Berdasarkan semakan, suspek mempunyai lapan rekod lampau membabitkan dadah. Malah, ujian air kencing yang dilakukan terhadapnya (suspek) juga didapati positif dadah jenis ganja,” katanya.

Suspek yang kini direman selama empat hari bermula kelmarin sedang disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK)

Share on Google Plus
Klik LIKE Page Ini Untuk Terima Info Terbaru Dari Kami

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Post a Comment